TEKA-TEKI kontroversi penyampai radio popular, Raja Azura atau mesra dengan panggilan Kak Engku berpimpin tangan dengan bekas suaminya pada Januari lalu kini terjawab apabila perkara itu diakui sendiri oleh beliau ketika ditemui baru-baru ini.
Aksi intim berkenaan dilihat ketika Kak Engku bersama bekas suaminya, Adzmin Tan Sri Osman berjalan-jalan di sebuah kompleks beli-belah di ibu kota.
Walaupun kedua-duanya mengenakan kaca mata hitam, kelibat penyampai radio Sinar FM dan pasangannya itu tetap dikenali ramai.
Semasa diajukan pertanyaan mengenai aksi berpegangan tangan, tiba-tiba penyampai radio slot Sinar Pagi yang pada mulanya begitu riang dengan keramahannya bertukar sayu.
Sambil mengesat air mata yang mula membasah kelopak matanya, dia berterus-terang mengatakan sejak perceraiannya tahun lalu sehingga saat ini, Kak Engku dan bekas suami masih berpura-pura mesra di hadapan anak-anak.