Ahad, 18 April 2010

Kisah Kehidupan Rumah Tangga

KISAH sebelum ini menarik perhatian Puan Shana turut sama memberikan pandangan berdasarkan pengalaman yang hadapi kini. Katanya, memang tepat kata orang tua-tua berumah tangga tidak semuanya berjalan lancar
seperti sungai mengalir.

Kalau cerita Norzie suaminya banyak melebihkan keluarganya, demikian juga yang dihadapi oleh Shana, malah yang lebih teruk lagi, suaminya tidak menyukai keluarga sebelahnya,
hinggakan untuk memberikan ibunya duit setiap bulan pun dilarang, inilah
masalah besar yang sentiasa berlengkar dalam kehidupannya.

Bukan setakat itu, nak balik kampung pun ada jadual, tak boleh balik sesuka hati, malah kenduri-kendara mahupun majlis perkahwinan saudara mara
dipilih-pilih malah dia tidak galakkan pergi, kalau pergi pun cuma saya
seorang, demikian cerita Shana dalam e-mel kepada penulis, dan ketika
kami berbual di telefon, katanya dia sering diugut akan diceraikan kalau
tidak mahu mengikut kehendak dan kemahuannya.

``Saya tak tahu pengalaman orang lain, tetapi pahit maung yang saya lalui selama berumah tangga selama 8 tahun ini amat membebankan perasaan dan menekan jiwa
saya. Walaupun kini sudah mempunyai 2 orang anak, boleh dikira dengan
jari bilangan saya balik kampung dalam setahun, biarpun kampung saya
dalam negeri yang sama.

``Masa mula-mula kahwin dahulu, suami saya Eddy memberitahu, rancangan masa depannya terhadap rumah tangga kami dan bagaimana kami boleh memiliki rumah sendiri dengan tidak payah
menyewa rumah lagi. Rancangannya kalau diikut memang bagus, tetapi
malangnya tidak berjalan lancar seperti yang dia sendiri susun.

``Rancangnya saya mesti serahkan gaji saya semuanya kepada dia kemudian dicampur dengan duit gajinya, kami boleh beli rumah dan kereta lebih baik
daripada yang dia ada pada waktu itu. Sementara mencari lokasi taman
perumahan yang elok dan dekat dengan tempat kerja kami, maka kami
terpaksa menyewa rumah dahulu, saya mengikut saja.

``Dari sebulan setahun rumah masih tak ditemui, kalau ada pun rumah yang sesuai, lokasi tak baik, tak jadi beli. Kadang tu lokasi sesuai, tetapi kawasan
perumahan tak cantik tak beli juga. Alasannya, kalau salah pilih setahun
rumah dah roboh, buat apa! Ada juga kawasan tak sesuai kerana selalu
banjir dan sesak dengan kereta pun dia tak beli.

``Tapi yang peliknya rumah sewa kami memang di kawasan sesak dengan kereta setiap pagi hingga ke malam dia tak kisah pulak, alasannya kerana rumah sewa.
Kini sudah tujuh tahun kami duduk di tempat yang sama, dan sesak tapi
dia tak pulak jadi masalah kepadanya. Bagaimana kereta kami kini sudah
dua kali bertukar.

``Saya tak kisah kalau dia cerewet pasal beli rumah, kerana seleranya tinggi, tapi saya bimbang semakin lama bertangguh, harga semakin mahal dan pasti rumahnya bukanlah dekat bandar
lagi, tentu jauh dari KL. Kalau pun ada harganya sekali lipat.

``Namun yang memeningkan kepala saya ialah bab menguruskan rumah semua dia nak buat, kalau tak mahu beli perabut saya tak kisah, tak tukar langsir
empat lima tahun pun saya boleh sabar, sebab tak ada siapa nak datang ke
rumah saya, saudara mara saya jauh sekali mahu datang. Kalau datang pun
keluarga dia nak malu pun rumah tak cantik dia sendiri bukan saya,
sebab saya tak ada duit dan tak ada kuasa dalam rumah sendiri.

``Semua Eddy tentukan. Perabut rumah kami yang ada cuma yang perlu sahaja, kerusi meja, peti sejuk, dapur, meja makan, set bilik tidur semasa saya
kahwin dulu, itu sahaja. Permaidani pun tak ada, alasan Eddy ia berhabuk
tak baik untuk kesihatan. Kipas angin saya ambil dari rumah emak sebab
tak tahan panas, begitu juga pinggan mangkuk periuk belanga hadiah emak
semasa saya pindah lepas kahwin dahulu.

``Eddy tak galakkan saya pegang duit takut saya boros dan membazir, kalau nak beli pakaian saya dan anak-anak dia ikut sama dan tentukan yang mana sesuai untuk kami.
Tudung saya pun dia pilihkan. Biasalah kami beli pakaian setahun sekali
dekat raya.

``Selepas lima tahun kahwin, saya rasa sudah tidak selesa lagi, janji beli rumah entah di mana saya sendiri tidak pegang duit gaji saya kecuali diberikan duit makan semasa di pejabat. Namun
yang lebih membuatkan saya memberontak dalam hati ialah bila saya
meminta duit daripada Eddy untuk diberikan kepada ibu bapa saya dia tak
bagi. Alasannya kalau duit selalu keluar mana cukup nak beli rumah.

``Saya jelaskan kepadanya, kalau sebelum kahwin saya bagi emak bapak saya paling kurang RM200 sebulan, takkan sekarang RM100 sebulan pun tak
boleh. Saya pujuk lagi gunakan duit saya itu bagi emak setiap kali hari
raya dan hujung tahun waktu bukan sekolah untuk membantu adik-adik, itu
pun dia tak bagi. Kadang tu selepas menangis dua tiga hari baru dia bagi
RM100 setahun sekali. Mana cukup.

``Akhirnya bila uisa meningkat saya beranikan diri simpan duit sendiri dan saya beritahu Eddy saya akan uruskan makan minum, susu anak dan sebagainya, saya tak mahu beri
duit padanya lagi, kerana saya kira duit gaji saya yang disimpannya
selama 5 tahun sudah cukup untuk membayar duit muka rumah yang dirancang
untuk dibeli itu.

``Perubahan sikap saya tentulah menjadi kemarahannya, dia merajuk tak balik rumah beberapa hari hinggakan saya terpaksa naik teksi dan bas ke tempat kerja. Akhirnya dengan bantuan
kawan-kawan saya menumpang mereka dan selesai satu masalah. Mulai bulan
itu juga saya kirimkan duit untuk emak setiap bulan. Dan saya masih ada
simpanan lagi. Amuk Eddy tak pernah surut, selagi saya tak menyerahkan
duit gaji saya padanya.

``Namun saya sudah nekad tidak akan berganjak dari keputusan yang dibuat. Eddy mengugut, katanya isteri yang engkar pada suami tak cium bau syurga, tapi saya lebih yakin bahawa
syurga di bawah tapak kaki ibu.

``Saya cuba jelaskan kepadanya, kalau saya berbakti kepada emak saya dan bagi emak saya duit pun cuma beberapa tahun ini sahaja, paling lama 10 atau 15 tahun, lepas itu entah
ibu bapa saya ada lagi atau tidak. Sebab mereka dah tua. Tetapi saya
akan terus berbakti atau menjadi kuli kepada suami saya hingga ke akhir
hayat, kalau tidak kena cerai mungkin 30 atau 40 tahun lagi, jadi
mengapa marah kalau saya ingin berbakti dan memberi sedikit duit kepada
ibu bapa saya. Tak lama!

``Lagi pun saya fikir bila lagi saya dapat membalas jasa ibu bapa saya yang selama ini membanting tulang membesarkan saya, suami mengambil saya sebagai isteri setelah saya
dewasa, berkerja dan memberi hasil kepadanya, dia tidak bersusah payah
menjaga saya, sebaliknya saya yang selama ini membantunya. Kalau saya
sakit pun belum tentu dia boleh menjaga saya dengan baik seperti ibu
menjaga saya dulu.

``Lebih penting, saya pun tak tahu jodoh dan kasih sayang saya dengannya, mungkin panjang mungkin tidak, mungkin dia kahwin lagi, atau mungkin saya dimadukan siapa tahu? Tapi kasih ibu
kepada anak tak pernah padam. Saya katakan juga kalau saya tak pernah
bertanya berapa banyak duit yang diberikan kepada emaknya setiap bulan
mengapa hak saya dipertikaikan?

``Lebih memberatkan hati saya untuk menguruskan duit gaji sendiri setelah hubungan saya dengan ibu bapa dan adik-beradik saya cuba dibataskan, sebagai contoh, nak balik
kampung di sekat, kenduri kahwin saudara mara kalau balik pun cuma saya
sendiri, sedangkan dia tak suka berhubung rapat dengan keluarga saya.

``Kalau balik kampung saya semasa Hari Raya pun selepas tiga raya, tidur semalam esok balik tak sempat jumpa adik-beradiksaya, sebab mereka sudah balik ke rumah masing-masing, nak pergi ke rumah mereka, Eddy tak
mahu. Belum pernah saya balik kampung pada raya pertama, sebab Eddy tak
suka bergaul dengan ipar duai atau biras saya, lebih penting dia tak
mahu keluar duit. Ialah takkan balik tangan kosong tak mahu beli daging
sekilo ke, bagi duit raya pada anak-anak saudara ke, atau kepada ibu
bapa saya!

``Sebab itulah saya bertindak menguruskan duit sendiri sebab saya tak nampak perubahan Eddy kepada kebaikan. Lebih menyakitkan hati saya bila di tanya berapa jumlah simpanan sekarang dah cukup ke
untuk bayar duit muka rumah, jawapannya adalah sikit, tak banyak. Dia
tak pernah beritahu saya jumlah sebenar, mengapa mesti sembunyikan
jumlahnya daripada pengetahuan saya, bukankah kita berkongsi
menyimpannya, jadi saya pun berhak tahu. Setiap kali bertanya ia akan
mencetuskan pertengkaran, mula-mula dulu memang saya takut bertanya,
tapi lama kelamaan saya dapati ketakutan saya itu menjadi senjata
kepadanya supaya saya tak berani bertanya pada dia lagi.

``Betul kata Eddy bukan tanggungjawab saya beri duit pada ibu dan bantu persekolahan adik-adik. Tetapi apa tanggungjawab saya sebagai anak
kepada ibu bapa yang susah, tergamakkan saya melihat adik-adik
terkial-kial nak bersekolah?

``Saya bukan buta hati dan buta perut, sebagai anak saya rasa itu satu dari tanggungjawab saya. Inilah sahaja bakti saya kepada ibu bapa saya sebelum mereka meninggal dunia.
Saya mahu mereka senang hati, emosi dan fizikal di hujung-hujung usia
mereka.

``Malangnya niat baik saya ini telah membawa masalah besar dalam kehidupan saya, kalau dahulu Eddy nampak gembira setiap kali balik ke rumah, tetapi sejak saya uruskan duit sendiri, dia tidak mahu
lagi melayan saya dan anak-anak dengan baik, ada-ada sahaja yang salah
terhadap diri saya. Saya faham semuanya kerana saya tidak serahkan duit
gaji saya padanya setiap bulan.

``Bagaimana pun jika saya kembali seperti dulu menyerahkan gaji saya kepadanya, hati dan jiwa saya pula tidak tenteram, saya boleh berkorban, tapi sampai bila, sedangkan baru
dua setengah tahun saya menguruskan duit sendiri, saya sudah boleh
menyimpan hampir RM4,000 dan saya rasa Eddy sudah pasti menyimpan lebih
banyak lagi kerana dia begitu berkira dalam berbelanja, baik soal rumah
mahupun makan minum kami.

``Boleh dikatakan setahun sekali kami pergi berkelah ke Port Dickson pun susah, kalau pergi pun kami bawa bekalan makanan dan minuman, tak pernah makan di restoran. Kalau keluar
belanja pun cuma duit minyak dan tol. Tapi saya tak kisah asalkan
anak-anak gembira. Kebiasaannya kami cuma berhibur dan makan angin ke
Taman Titiwangsa atau ke sungai-sungai perkelahan di pinggir kota. Tentu
Eddy banyak simpan duit!

``Walau pun hubungan kami agak kurang mesra, tetapi hati saya tenang, saya rasa tak salah simpan duit sendiri. Benar saya mesti bersyukur kerana Eddy benarkan saya bekerja, tetapi
kalau tidak bekerja, mampukah Eddy sendirian? Beli rumah dan kereta?
Belum tentu lagi! Sepatutnya Eddy bersyukur sebab saya membantunya, tapi
Eddy kedekut dengan keluarga saya kerana dia mahu simpan duit dan mahu
cepat kaya. Eddy janganlah kedekut sangat!"

Demikian luahan rasa Shana terhadap suaminya, katanya dengan mencurahkan isi hatinya, walaupun Eddy tidak membaca ruangan ini, tetapi jiwanya tenang. Malah
ketika kami berbual di telefon Shana memberitahu hatinya terasa lega
sekali, bebas dari bebanan besar yang terpaksa dipikulnya selama ini.

Kata orang tua-tua berjimat cermat dan beringat tentang masa depan
kita boleh senang, tetapi kita akan menjadi lebih senang, mewah dan
mendapat keberkatan Allah jika kita banyakkan bersedekah, menghulurkan
bantuan kepada mereka yang memerlukan, bermula dalam keluarga sendiri,
ibu bapa, adik-beradik juga saudara mara yang susah. Hidup kita juga
akan mendapat keberkatanNya di dunia dan di akhirat.

1 ulasan: