Jumaat, 16 April 2010

Perkampungan Orang Laut di Kepulauan Riau.



Istilah Orang Laut secara umumnya merangkumi pelbagai jenis suku dan kelompok kecil yang mendiami persisiran pantai dan pulau-pulau luar persisir di selatan Semenanjung Malaysia, timur Pulau
Sumatera
serta pulau-pulau dan muara sungai di Kepulauan
Riau-Lingga
, Kepulauan Batam, Pulau Tujuh dan Pulau
Singapura
.[1]
Mereka adalah penduduk pribumi di selatan Semenanjung Malaysia, Singapura
dan timur Pulau Sumatera, Indonesia.

Orang Laut tinggal di dalam sejenis rumah perahu yang dipanggil 'sampan panjang'. Mereka lebih gemar tinggal di dalam sampan panjang di permukaan laut daripada hidup di atas darat.[2]
Malahan mereka juga sering berpindah-randah dan berkelana dari satu
tempat ke satu tempat yang lain.

Kaum Orang Laut memiliki banyak persamaan dengan orang Melayu dari segi kebudayaan dan bahasa. Bahasa kaum ini dikenali sebagai bahasa Orang Laut yang merangkumi pelbagai jenis loghat suku. Mereka pada umumnya mencari rezeki dengan bekerja sebagai nelayan.


Sejarah Silam Orang Laut

Zaman Kerajaan Srivijaya

Suatu ketika dahulu, Orang Laut digelar sebagai Orang Lanun atau Orang Selat kerana sebelum mereka menumpukan kesetiaan terhadap Kerajaan Srivijaya,
mereka pada asalnya adalah sekumpulan lanun yang menguasai sekitar
perairan Selat Melaka.

Orang Laut memainkan peranan penting dalam pemerintahan Kerajaan Srivijaya, Kesultanan Melaka dan Kesultanan Johor-Riau. Hubungan rapat di antara Orang Laut dengan ketiga-tiga buah keluarga diraja tersebut telah
pun terjalin sejak di awal zaman kerajaan Srivijaya lagi.

Orang Laut juga dikenali sebagai golongan yang sangat setia kepada keluarga diraja Srivijaya. Malah selepas kejatuhan Srivijaya pada tahun 1025, Orang Laut masih meneruskan kesetiaan mereka terhadap Parameswara
iaitu putera raja Srivijaya (Palembang)
yang terakhir.

Zaman Kesultanan Melaka

Selepas Kerajaan Srivijaya musnah akibat serangan Raja Rajendra Chola I dari India, Parameswara bersama para pengikutnya termasuk Orang Laut mendirikan Kesultanan Melaka di Semenanjung Tanah Melayu.
Ketika Melaka mencapai zaman kegemilangannya, Orang Laut merupakan
pendukung utama kepada kerajaan maritim tersebut.

Setelah kejatuhan Kesultanan Melaka akibat serangan penjajah Portugis, Orang Laut masih tetap meneruskan kesetiaan mereka terhadap Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah. Mereka telah membantu sultan
tersebut mendirikan Kesultanan Johor-Riau di selatan Semenanjung Tanah
Melayu.

Zaman Kesultanan Johor-Riau

Setelah Kesultanan Melaka musnah akibat serangan penjajah Portugis, Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah bersama para pengikutnya termasuk Orang Laut mendirikan Kesultanan Johor-Riau dengan
ibu kotanya berpusat di Pulau Bentan. Tidak berapa lama kemudian,
tentera Belanda
telah berjaya merampas negeri Melaka dari tangan penjajah Portugis.

Setelah Melaka berjaya ditawan, pihak Belanda berniat untuk menyerang Kesultanan Johor-Riau yang mulai bangkit dan menyaingi Melaka sebagai pusat perdagangan utama di rantau ini. Maka Sultan Johor mengambil
tindakan dengan mengancam pihak Belanda untuk memerintahkan Orang Laut
supaya berhenti memberikan perlindungan ke atas kapal-kapal Belanda.

Pada tahun 1699, waris terakhir Wangsa Srivijaya - Melaka - Johor-Riau iaitu Sultan Mahmud Syah II telah mangkat setelah dibunuh oleh Laksamana
Bentan yang bernama Megat Seri Rama.
Memandangkan baginda masih belum berkahwin dan tidak memiliki sebarang
zuriat, maka Bendahara Johor iaitu Tun Abdul Jalil telah melantik
dirinya sendiri sebagai Sultan Johor-Riau yang baru dengan gelaran Sultan Abdul Jalil IV. Walau bagaimanapun,
perlantikan Bendahara Tun Abdul Jalil sebagai Sultan Johor-Riau tidak
diakui oleh Orang Laut. Mereka mengesyaki keluarga Bendahara Johor turut
terlibat di dalam pembunuhan tersebut.

Pada tahun 1718, seorang petualang dari Minangkabau bernama Raja Kecil telah menuntut hak ke atas takhta kerajaan Johor-Riau dengan mengakui dirinya sebagai
waris Sultan Mahmud Shah II yang sah. Orang Laut dan para pembesar Johor
memberikan sokongan kepada Raja Kecil dengan membantunya merampas kuasa
dari Sultan Abdul Jalil IV. Setelah berjaya merampas kuasa, Raja Kecil
melantik dirinya sendiri sebagai Sultan Johor-Riau yang ke-12 dengan
gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.

Namun begitu, dengan sokongan dan bantuan dari lima putera Bugis bersaudara - Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak and Daeng Kemasi - putera kepada Sultan Abdul Jalil IV iaitu Raja Sulaiman telah berjaya
merampas kembali takhta kerajaan Johor-Riau. Raja Sulaiman telah
dinobatkan sebagai Sultan Johor-Riau yang ke-13 dengan gelaran Sultan
Sulaiman Badrul Alam Shah. Raja Kecil pula akhirnya telah diusir keluar
dari wilayah Johor-Riau.

Setelah diusir, Raja Kecil telah mendirikan Kesultanan Siak Sri Inderapura di Sumatera dengan bantuan Orang Laut dari suku Bentan dan suku Bulang. Pada abad ke-18, peranan Orang Laut sebagai
penjaga keamanan di Selat Malaka untuk Kesultanan Johor-Riau telah mula
digantikan oleh orang-orang Bugis secara perlahan-lahan.

Tugas dan Peranan Orang Laut

Tugas umum Orang Laut ialah mengawal kawasan sempadan laut, mengusir lanun-lanun, memimpin para pedagang ke pelabuhan yang ingin mereka tujui dan mengekalkan kekuasaan pelabuhan-pelabuhan tersebut di dalam
kawasannya. [3]

Walau bagaimanapun, setiap suku dari kaum Orang Laut telah diberi peranan khas masing-masing oleh Kerajaan Srivijaya, Kesultanan Melaka dan Kesultanan Johor-Riau agar pemerintahan kerajaan berjalan dengan
lebih lancar.

Antara tugas-tugas khas yang dilakukan oleh setiap suku dari kaum Orang Laut ialah menjadi tentera kerajaan, tukang-tukang kayu, tukang-tukang senjata, pengayuh kapal-kapal perang, penjaga
anjing-anjing perburuan dan pembawa surat-surat raja ke negara-negara
jiran.

Suku-Suku Orang Laut

Istilah Orang Laut secara umumnya merangkumi pelbagai jenis kelompok suku pribumi di selatan Semenanjung Malaysia, Singapura dan timur Pulau Sumatera, Indonesia. Jumlah sebenar suku-suku yang tergolong di dalam
kaum Orang Laut tidak diketahui kerana tiada catatan sejarah lengkap
mengenainya.

Kebanyakan suku-suku Orang Laut yang pernah wujud suatu ketika dahulu kini tidak lagi wujud pada zaman sekarang. Golongan ini telah memeluk agama Islam dan berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui
perkahwinan. Situasi ini boleh dilihat di Singapura dimana masyarakat
Orang Laut di pulau tersebut telah 'lenyap' akibat proses asimilasi
dengan orang Melayu.

Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir suku-suku Orang Laut yang kekal wujud hingga ke hari ini. Saki-baki kumpulan Orang Laut ini boleh ditemui di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Golongan ini berjaya
mengekalkan kewujudan suku masing-masing kerana kurang berhubung dengan
masyarakat luar.

Berikut adalah sejarah mengenai setiap suku di dalam kaum Orang Laut (sama ada yang masih wujud mahupun yang telah pupus):-





































































Tiada ulasan:

Catat Ulasan